Translate

11 August 2013

Pokok Lada - Serangga Perosak


Serangga PEROSAK POKOK LADA


Tanaman lada mengalami banyak masalah dan antara yang penting ialah masalah serangga perosak dan penyakit.  Berbagai-bagai jenis serangga perosak telah dikenalpasti menyerang tanaman lada pada semua peringkat pertumbuhan.




·       Kutu Daun:  Sembur racun serangga chlorphyritfos atau imidachloprid


·       Hamama Merah:  Daun yang diserang menjadi kerekot, kecil dan melengkung ke bawah. Sembur racun  seperti dicofol atau malathion

·       Afid:  Menghisap cecair daripada bahagian daun, pucuk dan bunga lada.  Serangan menyebabkan daun  berkerekot dan pertumbuhan pokok muda terbantut.  Selain itu, afid ialah pembawa penyakit virus.

·       Kutu Trip:  Menghisap cecair daripada bahagian daun, pucuk dan bunga.  Akibatnya daun menjadi kecil dan bentuk daun melengkung ke atas.  Kutu trip juga boleh menyebar virus.

·       Hama:  Daun yang diserang menjadi kerekot, kecil dan melengkung ke bawah.

·       Pengorek Buah:  Membuat lubang besar pada permukaan buah yang diserang.

·       Ulat Ratus:  Makan daun dan buah.

·       Lalat Buah:  Bertelur di kulit buah.  Larva merosakkan bahagian dalam buah mengakibatkan buah menjadi  busuk dan berair.

Untuk pengawalan yang berkesan, pada peringkat semaian, benih lada hendaklah disemai di dalam rumah jaring kalis serangga.  Tujuannya ialah untuk menghalang serangan serangga perosak seperti afid daripada menyebar penyakit virus dan juga serangga-serangga lain yang boleh merosakkan tanaman lada.  Ini penting kerana anak-anak benih lada yang hendak diubah ke ladang mestilah sihat.  Anak-anak benih yang dijangkiti virus tidak boleh dipulihkan semula.  Tambahan pula anak-anak benih lada yang dijangkiti virus pada peringkat semaian sukar dikenalpasti kerana simptomnya tidak jelas seperti pada pokok dewasa.

Di ladang, batas-batas mestilah disungkup dengan plastik bersinar.  Pantulan cahaya daripada plastik bersinar ini mampu menghindarkan dan mengurangkan afid bersayap dan juga kutu trip hinggap pada tanaman lada.  Ini amat penting terutama pokok sekurang-kurangnya sehingga minggu ke -5 selepas diubah ke ladang.  Peringkat ini dianggap kritikal kerana jika jangkitan virus berlaku hasil akan berkurangan sebanyak 30% hingga 60%.

Disamping mengawal afid dan mengurangkan kejadian penyakit virus, penggunaan sungkupan plastik bersinar juga memberi beberapa kebaikan seperti:-

  • Membantu mengawal rumput-rumpai dan mengurangkan kos merumput;
  • Mengekalkan kelembapan tanah dan menstabilkan suhu tanah;
  • Menghalang hakisan baja oleh pengaliran air dan hujan.
  • Cahaya yang dipantul oleh sungkupan plastik bersinar boleh meningkatkan aktiviti stomata dan fotosintesis.

Akan tetapi, selepas minggu ke-5 sebahagian besar permukaan plastik akan dilindungi oleh rimbunan pokok lada.  Oleh itu, pantulan cahaya semakin berkurangan untuk menghalang hinggapan afid bersayap dan kutu trip.  Selepas tempoh ini, dicadangkan supaya racun serangga terpilih yang berkesan digunakan dan disembur apabila perlu sahaja.  Seelok-eloknya setiap semburan diulang selepas 7 hari sehingga masalah perosak dapat diatasi.

Pada peringkat berbuah pula, jika tidak diawasi dengan teliti buah-buah lada boleh dirosakkan oleh perosak buah dan lalat buah.  Racun perosak terpilih yang berkesan boleh digunakan mengikut peraturan yang disyorkan bagi mengurangkan kerosakan oleh perosak-perosak tersebut.  Perkara penting yang perlu dipatuhi bagi penyemburan semasa peringkat berbuah ialah hasil hanya boleh dituai selepas 7 hari penyemburan dilakukan.

Pengawalan dengan menggunakan musuh semula jadi tanaman lada seperti kumbang, kura-kura, lalat sirfid dan kutu sibur-sibur juga boleh diamalkan.  Serangga-serangga ini gemar makan afid manakala bakteria Bacillus thuringiensis digunakan untuk mengawal serangga-serangga perosak seperti ulas pengorek buah dan ulat ratus.

Bagi petani yang ingin mengusahakan penanaman lada secara kecil-kecilan, sistem tanaman berbilang seperti selingan antara lada dengan jagung boleh diamalkan.  Sistem ini berupaya mengurangkan kira-kira 60% afid bersayap dan boleh mengurangkan kejadian penyakit virus sebanyak 50-60% tanpa semburan racun serangga.  Sistem ini menggalakkan kehadiran kumbang kura-kura yang makan afid pada jagung.  Secara tidak langsung, kumbang kura-kura ini juga akan memusnahkan afid yang ada pada tanaman lada.  Bagi petani yang ingin mengusahakan penanaman lada secara sistem selingan antara jagung dengan lada, perlu diingat bahawa tanaman jagung mestilah ditanam 3 atau 4 minggu lebih awal sebelum anak benih lada diubah ke ladang, tetapi sistem ini kurang sesuai untuk penanaman secara komersial kerana terdapat masalah dalam operasi penjenteraan.

Selain amalan pencegahan dan pengawalan perosak, penanam lada harus sedar bahawa spek pengurusan tanaman seperti pengairan dan pembajaan juga penting bagi menentukan pengeluaran hasil yang tinggi dan bermutu.


Ingin Menjana Pendapatan Sampingan Klik Di Sini http://www.theweeklypay.com/index.php?share=233702