Translate

13 August 2013

Penyakit Pokok Mangga/Mempelam



1.  PENYAKIT ANTRANOS BUAH

Penyakit Antraknos buah dan hawar jambak bunga adalah disebabkan oleh kulat yang sama dan menjadi penghalang utama dalam pengeluaran mangga di kawasan tropika.  Penyakit ini boleh menyebabkan putik mangga gugur.  Penyakit ini juga menyebabkan kerosakan yang tinggi pada buah-buah selepas dipetik jika tidak dikawal.

Tanda-tanda penyakit
Penyakit ini bermula dengan bintik-bintik hitam kecil di permukaan kulit buah.  Bintik ini membesar dan bercantum menjadi tompok-tompok hitam.  Biasanya terdapat retak-retak pada tompok hitam tersebut.  Dalam keadaan lembab, tompok-tompok hitam tersebut diselaputi oleh lapisan spora-spora berwarna merah muda, biasa dalam bentuk cecincin berpusar.  Jika terdapat hujan semasa pembetukan buah, kulit buah akan ditumbuhi bintik kecil yang keras dan timbul, kulit buah menjadi capuk-capuk dan berkerak.  Jika musim hujan lebat, kulat-kulat yang terdapat di bahagian atas buah akan turun mengikut aliran hujan menjadikan buah dijangkiti penyakit ini.  Apabila buah semakin matang, di hujungnya menjadi hitam dan isinya reput menjadi warna perang kehitaman.  Antraknos juga menyerang buah matang di peringkat penyimpanan sebelum dipasarkan.

Agen Penyebab
Patagen penyakit Antraknos ini ialah kulat Colletotrichum gloeosporioides Penz.

Cara Kawalan
 Sembur dengan racun kulat seperti maneb, mancozeb, propineb, chlorothalonil, captafol, benomyl, thiolpanatemethyl dan racun kulat jenis kupram.  Ini boleh diguna secara berasingan, campuran atau berselang seli.

Sembur dengan tiga campuran racun iaitu racun kulat, baja daun dan racun serangga contoh:  mancozeb, baja daun dan deltamethrin.

2.  PENYAKIT ANTRAKNOS JAMBAK BUNGA

Tanda-tanda penyakit

Penyakit yang paling serius, boleh menyebabkan kehilangan hasil yang teruk.  Bunga dan putik-putik kecil yang diserang penyakit ini akan gugur dan menyebabkan pokok tidak berubah.  Serangan semakin teruk di musim hujan dan lembab.

Tanda-tanda penyakit bermula dengan bintik kecil, nekrotik dan berwarna hitam pada kudup, bunga, tangkai bunga dan keseluruhan jambak bunga.  Bintik-bintik tersebut membesar dan bercantum menyebabkan keseluruhan jambak bunga menjadi hitam dan kering.

Cara Kawalan
Seperti kawalan penyakit antraknos buah.

3.    PENYAKIT ANTRAKNOS DAUN
Penyakit kulapuk hitam selalunya dikelirukan sebagai penyakit jelaga hitam.  Kulat penyakit ini berbeza dengan kulat jelaga hitam kerana kulat ini adalah adalah sejenis parasit obligate.  Penyakit ini tidak menyebabkan kerosakan yang teruk walaupun ia sering terdapat.  Kulit ini juga mengurangkan permukaan fotosintesis.  Perhubungan yang rapat antara kulat ini dengan koya adalah kerana manisan yang dikeluarkan oleh koya menggalakkan pertumbuhan kulat ini.

Penyakit ini bermula dengan bintik nekrotik yang kecil tersebar di seluruh permukaan daun.  Lama kelamaan bintik-bintik membesar berbentuk bulat atau bersegi.  Dalam cuaca lembab atau hujan bintik-bintik menjadi lebih besar dan dalam pelbagai bentuk.  Tompokan ini berwarna perang muda hingga kelabu keperangan di tengah dan perang gelap kehitaman di sekelilingnya.  Di musim kemarau tompokan menjadi kering dan gugur dan menyebabkan daun berlubang-lubang seperti ditebuk.
Agen penyebab
Patogen penyakit Antraknos ini ialah kulat Colletotrichum gloeosporioides Penz.

Cara Kawalan
Sama seperti antraknos buah.

4.  PENYAKIT BINTIK ALGA

Penyakit ini terjadi apabila pokok kurang subur, keadaan tanah yang tidak baik dan pokok yang ditanam terlalu rapat.  Pada serangan yang teruk, alga ini menutup permukaan daun dan ia juga menyebabkan kulit pada batang pokok mangga mengelupas.

Terdapat tompok-tompok berwarna perang seperti karat yang berukuran 5-8 mm pada permukaan atas dan bawah daun.  Lama kelamaan tompok yang berwarna karat tadi menjadi pudar dan berubah warna menjadi perang kehijauan.  Dengan sendirinya tompokan itu akan hilang dan meninggalkan tompokan putih, kering dan menjadi kehitaman menyebabkan kawasan untuk fotosintesis pada permukaan daun kurang.

Agen Penyebab
Penyakit bintik daun alga ini disebabkan oleh alga hijau yang diberi nama Cephaleuros virescens Kunze.

Cara Kawalan

Ø permbaiki amalan-amalan pertanian seperti saliran, dll.

Ø pembajaan baja yang baik.

Ø sentiasa kawal serangga seperti hama dan penyakit kulat yang lain dari semasa ke semasa.

Ø pokok yang ditanam terlalu rapat hendaklah dilakukan cantasan untuk memperbaiki pengudaraan kawasan tersebut dan supaya banyak terdedah kepada cahaya matahari.


5.  PENYAKIT KULAPUK HITAM
Penyakit ini adalah penyakit yang biasa didapati dan menyebabkan kerosakan yang teruk pada daun-daun mangga.  Daun mangga pada peringkat pucuk sangat peka kepada penyakit ini.  Jika serangan teruk, pucuk-pucuk pokok mangga akan mati terutama di musim-musim hujan.  Penyakit antraknos daun ini adalah punca kepada jangkitan penyakit hawar jambak bunga dan antraknos buah.  Oleh itu kawalan penyakit antraknos daun adalah penting untuk menghalang kerosakan pada jambak bunga dan buah.

Tanda-tanda penyakit
Serangan kulapuk hitam kelihatan seperti tompokan hitam seperti baldu dan terdapat di dalam berbagai-bagai betuk hingga sebesar 1 cm.  Tompokan ini selalunya banyak, meliputi seluruh permukaan daun.  Biasanya terdapat di permukaan atau daun, juga terdapat pada tangkai dan ranting.

Agen Penyebab
Penyakit ini disebabkan oleh kulat Meliola mangiferae Earle.

Cara Kawalan
Kawalan penyakit ini boleh dibuat dengan menghapuskan koya-koya.  Penyemburan racun serangga dan racun kulat dari semasa ke semasa untuk mengawal perosak-perosak utama akan melindungi pokok dari serangan penyakit ini.

 6.    PENYAKIT JELAGA HITAM

Penyakit jelaga hitam tersebar luas dan biasanya terdapat pada tanaman mangga tetapi ia bukanlah jenis parasitik.  Ia mendapat makanan dari manisan yang dikeluarkan oleh kutu daun, koya-koya dan lain-lain serangga.  Jelaga hitam menutup permukaan daun dan mengurangkan fotosisntesis menyebabkan pokok mangga mengeluarkan buah yang sedikit dan pokok kelihatan tidak sihat.

Haifa jelaga hitam ini juga menyerap air menyebabkan permukaan daun sentiasa berkeadaan lembab dan ini akan menggalakkan penyakit-penyakit lain merebak.  Jelaga hitam juga menyebabkan mutu buah rnedah untuk pemasaran.  Jelaga hitam biasanya terdapat pada batang, dahan, ranting , daun dan juga pada buah.  Pada daun dan ranting, kulat ini kelihatan seperti jaringan haifa yang longgar atau lapisan nipis atau lapisan tebal seperti baldu.   Pada buah pula jelaga hitam kelihatan seperti selaput nipis berwarna hitam yang bercorak seperti aliran airmata.

Agen Penyebab
Penyakit ini disebabkan oleh beberapa jenis kulat jenis Ascomycete.  Kebanyakan spesies ini mempunyai peringkat mengawan dan tidak mengawan.  Konidianya adalah jenis gelap dan begitu juga perithecianya.  Pertumbuhan berbagai jenis kulat ini menyebabkan kerja mengenalpasti spesies sukar.  Genera yang biasa didapati pada mangga ialah:-

Tripospermum, Limaciluna, Trichopelteca, Chaetothyrium, Antennulariella, Capnodendron, Scorias (Neocapnodium), Scolecoxyphium dan Polychaeton.

Cara Kawalan
Kawalan serangga yang mengeluarkan manisan.  Sembur dengan racun malathion, white oil, demoton-S-methyl dan methamidophos.

7.  PENYAKIT BINTIK KERAH (CRUSTY LEAF SPOT)
Penyakit ini biasa ditemui pada daun-daun tua yang pokoknya kurang subur.  Pokok di kawasan dusun, tapak semaian dan pokok yang ditanam di kawasan rumah selalu diserang oleh penyakit ini.  Penyakit ini hanyalah menyebabkan bintik-bintik pada daun dan tidak begitu merbahaya.
Penyakit ini kelihatan seperti bintik gelap yang timbul, keras serta berbentuk bulat atau lonjong.  Bintik ini terdapat pada permukaan bawah daun.  Bintik keras ini berukuran lebih kurang 1 mm dan senang ditanggalkan dari daun.  Di permukaan atas daun pula bintik ini kelihatan kekuningan dan di tengahnya bintik berwarna gelap.  Daun-daun pada dahan-dahan di bahagian bawah pokok kerap diserang penyakit ini.

Agen Penyebab
Disebabkan oleh kulat yang bernama Zimmermaniella trispora P. Henn.

Cara Kawalan

Sembur racun kulat untuk mengawal penyakit lain adalah mencukupi bagi menjauhkan penyakit ini.  Lakukan pembajaan yang betul dri semasa ke semasa.

8.  PENYAKIT CENDAWAN ANGIN

Penyakit ini adalah yang paling merbahaya menyerang bahagian kulit dahan, ranting dan batang utama pokok mangga.  Pokok mangga yang berumur 5-15 tahun yang mempunyai kanopi agak tebal amat mudah dihinggapi oleh penyakit ini.  Penyakit ini menyebabkan dahan yang diserang menjadi layu dan kering.  Keadaan ini akan mengurangkan kanopi dan juga keupayaan berbuah.

Pada peringkat awal, terdapat bebenang putih seperti sutera di atas permukaan kulit batang.  Dalam keadaan yang sesuai bebenang tersebut terus membaluti batang dan lama kelamaan warnanya bertukar menjadi merah muda.  Bebenang ini akan kering bila batang yang diserang menjadi kering dan mati.  Pada peringkat ini, maisila yang sterile berwarna merah muda menjadi semakin tebal lalu membentuk selaput.

Agen Penyebab

Disebabkan oleh kulat Corticium salmonicolor Berk et Br. dari keluarga Corticiaceae.. Kulat ini mengeluarkan dua peringkat, iaitu peringkat "corticium" dan "necator"  Di peringkat "corticium" spora dikeluarkan di atas lapisan hymenium.  Pada peringkat "necator"  konidia dikeluarkan dari "sporodochium".

Cara Kawalan

Sentiasa jalankan pengawasan supaya penyakit ini dapat dirawati sebelum jadi teruk.  Pangkas batang yang teruk diserang dan bakar.  Sapu bahagian yang diserang dengan racun kulat jenis tridemorph dan lain-lain.



Ingin Menjana Pendapatan Sampingan Klik Di Sini http://www.theweeklypay.com/index.php?share=233702